Sunday, 28 October 2012

VIDEO LAGU KANAK-KANAK

Video lagu kanak-kanak yang boleh digunakan semasa set induksi bagi menarik minat murid. Video-video ini digunakan oleh guru bagi memperkenalkan sesuatu pengajaran.

Lagu Tiga Kupang

Kereta Merah

Saya Ada Kuda

Chan Mali Chan


Anak Rusa Nani

Bunyi Haiwan

Bunyi-bunyi haiwan.

Bunyi-bunyi haiwan diajarkan kepada murid-murid dalam mengenal dan mengecam bunyi. Para guru yang sedang mencari bunyi-bunyi haiwan untuk pengajaran, saya sertakan bunyi-bunyi haiwan untuk anda download. 
Anjing : Download
Anak Kucing : Download
Ayam : Download
Burung : Download
Gajah : Download
Harimau : Download
Itik : Download
Kambing : Download
Katak : Download
Kucing : Download
Kuda : Download
Lembu : Download
Monyet : Download
Nyamuk : Download
Serigala : Download
Kambing Biri-biri : Download
Singa : Download


KATA NAMA

KATA NAMA.

  1. Perkataan yang biasanya menamakan orang atau benda.
  2. Perkataan yang menjadi inti pada binaan frasa nama.
  3. Jenis kata nama:

  • Kata Nama Am
  • Kata Nama Khas



KATA NAMA AM
  1. benda/perkara yang umum sifatnya
  2. ejaannya berpangkal huruf kecil (kecuali memulakan ayat)
  3. dapat digandingkan dengan kata bilangan ataupun penjodoh bilangan.
  4. kumpulan kata nama
    1. abstrak – mimpi, angan-angan, cantik
    2. benda – kerusi, almari, sekolah
    3. manusia – orang, guru, dan polis
    4. binatang – itik, kambing, lembu
Contoh:
  • Beberapa orang murid sedang bermain bola.
  • Terdapat dua buah meja di dalam kelas tersebut.kumpulan kata nama:


KATA NAMA KHAS
  1. nama yang khusus
  2. ejaannya berpangkal huruf besar
  3. kumpulan kata nama:
    1.  manusia – Ahmad,Aminah, Ramu
    2. tempat – Kedah, Butterworth, Alor Gajah
    3. binatang – Si Tompok, Si Hitam, dan Si Comel

Video Kata Nama 

(1)

(2)


(3)



Tuesday, 9 October 2012

PRABACAAN

 Pendahuluan

Di akhir tahun-tahun 1970-an, terdapat laporan-laporan yang menyatakan ramai murid sekolah rendah (terutama yang tinggal di luar bandar) yang tidak boleh membaca atau tidak cekap membaca bahasa mereka sendiri (bahasa Melayu). Tentu banyak sebabnya perkara ‘tidak boleh membaca’ ini berlaku. Tetapi bagi mencari penyelesaian, elok dikaji semula antara lain, kaedah mengajar Bahasa Melayu di peringkat awal (Darjah 1 atau 2), dan menggubal cara yang lebih sesuai, mudah dan berkesan.

Seharusnya sebahagian besar (90%) daripada murid-murid kita dapat membaca bahan-bahan bacaan yang ‘senang’ pada akhir Darjah 1 persekolahan mereka, jika pengajaran membaca dibuat secara sistematik dengan mengambil kira hal-hal berikut:

a) Sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik – ertinya ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya. (Ini berbeza sekali dengan sistem ejaan bahasa Inggeris yang amat rumit itu).
b) Suku kata perkataan-perkataan bahasa Melayu adalah mudah dan jelas (jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain –dengan bahasa Inggeris misalnya).
Kedua-dua ciri dalam bahasa Melayu di atas sahaja seharusnya sudah dapat meyakinkan kita bahawa kita tidak boleh meniru dan mengambil terus kaedah mengajar membaca bahasa Inggeris untuk mengajar membaca di peringkat awal.
c) Murid-murid Melayu (termasuk sebahagian besar murid-murid Bukan Melayu) yang melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah pun mengetahui bahasa Melayu dan mempunyai perbendaharaan kata bahasa Melayu yang mencukupi untuk mereka terus belajar membaca bahasa Melayu. Ertinya mereka belajar bahasa Melayu sebagai bahasa pertama, bukan sebagai bahasa kedua (misalnya bahasa Inggeris). Jika kita meniru kaedah mengajar membaca bahasa Inggeris (sebagai bahasa kedua) untuk mengajar mambaca bahasa Melayu sudah tentu ini akan membawa kepayahan dan kelambatan untuk murid-murid kita belajar membaca bahasa kita.
Terdapat pelbagai kaedah mengajar membaca yang pernah digunakan oleh guru-guru kita – ‘kaedah abjad’ , ‘kaedah fonik’, ‘kaedah pandang dan sebut’, ‘kaedah eklektik’ dan sebagainya.
Bahan-bahan untuk murid berlatih membaca sendiri adalah penting, ini kerana jika murid-murid tidak mempunyai bahan-bahan atau buku yang boleh mereka membaca di masa lapang atau di rumah, pembinaan kemahiran membaca akan terencat. Ini terutamanya akan berlaku di kalangan murid-murid di luar bandar atau daripada keluarga miskin di mana bahan-bahan bacaan di rumah sangat kekurangan. Agak munasabah kenyataan bahawa murid-murid akan menambah kecekapan membaca dengan terus diberi kemudahan untuk mereka membaca.
Dalam rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (3M) nanti, kejayaannya – dari segi matlamat supaya semua murid dapat membaca, menulis dan mengira – bergantung besar atas faktor adanya bahan-bahan dan buku-buku yang sesuai, beragam dan mencukupi untuk murid-murid membaca. Bahan-bahan itu haruslah menarik dan berisi : berbagai ‘ilmu pengetahuan’, mesej moral, dan sebagainya.

Kaedah Mengajar Murid-murid Membaca di Peringkat Awal

Masalah murid-murid sekolah tidak dapat membaca, atau tidak dapat membaca dengan cekap, sebenarnya telah lama dirasakan oleh guru-guru. Hanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini saja hal tersebut diberi perhatian yang lain, dan daripada beberapa kajian yang dibuat nampaknya masalah ini masih agak serius.

Sudah wajarlah masalah pembelajaran membaca (termasuk menulis dan mengira) diberi perhatian oleh semua pihak : Kementerian Pelajaran, guru-guru, dan ibu bapa, kerana di dalam sistem pelajaran formal, ketiga-tiga kemahiran itu menjadi alat yang asas untuk kanak-kanak mempelajari Ilmu Sains, Ilmu Alam, Sejarah, Kesusasteraan, Sivik, Muzik, Perdagangan, Pertanian, Seni Perusahaan, mata pelajaran Teknikal, Agama serta pengetahuan dan kemahiran lain.

Kemahiran 3M adalah ‘alat’ asas untuk seseorang meneroka ilmu, mencipta, dan membuat komunikasi. Dalam konteks dunia hari ini, kecekapan dalam menguasai 3M amat diperlukan, lebih-lebih lagi untuk urusan kehidupan sehari-hari. Maksudnya, definisi had minimum dalam kemahiran membaca setakat ‘mengenal huruf’ sudah tidak memadai lagi. Taraf minimum yang harus dianggap sebagai ‘functionally literate’ di Malaysia hari ini harus didasarkan pada keupayaan seseorang itu membaca dan memahami tulisan di dalam suratkhabar, dan menulis surat-surat urusan harian sendiri. Taraf pencapaian minimum inilah yang harus dapat dicapai oleh 90% daripada murid-murid sekolah apabila mereka sampai ke Tingkatan 3.

Untuk mencapai taraf kemahiran ini, asas-asas yang kukuh perlu dibina secara progresif dari awal. Barangkali bagi 90% daripada kanak-kanak dalam negara kita, mula mengenal huruf hanya apabila mereka menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kebanyakan kita juga mula belajar membaca apabila kita bersekolah. Hal ini sengaja ditekankan kerana sudah diterima sebagai ‘biasa’ bahawa di antara tugas utama guru-guru di sekolah dasar ialah mengajar kanak-kanak supaya dapat membaca dan menulis. Jika ini belum dicapai, apa pun sebab-sebab yang mungkin diberikan, tugas guru belum dikira sempurna. Masyarakat kita sentiasa mengharapkan sistem persekolahan kita memberikan kecekapan membaca, menulis dan mengira kepada anak-anak, dan jika ramai yang tidak mendapat kemahiran tersebut, maka sistem persekolahan itu dianggap gagal, dan harus dikaji semula serta dipulihkan.

Walau bagaimanapun tidaklah dicadangkan apa-apa pemulihan yang besar di dalam sistem pelajaran kita, hanya sekadar untuk meninjau beberapa kaedah mengajar di peringkat awal : (beberapa definisi dan andaian asas)
a) Peringkat permulaan membaca di sini ditafsirkan sebagai peringkat permulaan membaca yang dihadapi oleh sebahagian besar murid-murid Darjah 1, di sekolah-sekolah dasar kita;
b) Kebanyakan daripada murid-murid ini adalah ‘normal’ dari segi keupayaan atau kebolehan mereka belajar;
c) Murid-murid ini telah pun mempunyai kemahiran bahasa Melayu lisan (walaupun mungkin dalam bentuk dialek), menguasai perbendaharaan kata yang ‘mencukupi’ akibat daripada lahir di dalam keluarga Melayu, atau bercampur-gaul dengan orang-orang Melayu. Dengan kata lain mereka belajar membaca bahasa Melayu sebagai bahasa pertama.

Kaedah Pengajaran yang Biasa Dibuat.

2.3.1 Kaedah abjad

Kaedah Abjad bolehlah dianggap sebagai kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan Melayu; a,b,c…hingga z. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf ini mengikut aturannya a,b,c,…z. kadang-kadang ada nyanyian yang menggunakan huruf-huruf sebagai liriknya.

Setelah beberapa minggu barulah disebutkan huruf-huruf vokal: a,e,i,o,u. Selepas itu dibina suku-suku kata “ba – tu”, “ka – ki” dan sebagainya, dan diikuti pula dengan mengeja perkataan-perkataan. Kemudian barulah diberi latihan membaca ayat-ayat yang pendek.

Murid-murid hanya mengambil masa tiga hingga empat bulan, atau lebih untuk mengetahui nama-nama huruf hingga tahu membaca ayat-ayat .

Kaedah abjad yang begini hanyalah menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak. Memulakan pengajaran membaca dengan menegaskan pengenalan dan hafalan nama-nama huruf, sebenarnya menegaskan sesuatu yang boleh membosankan murid-murid. Saya kira kaedah ini mengambil masa yang agak panjang sebelum murid-murid itu dapat merasa gembira atau puas.

2.3.2 Kaedah ‘Pandang dan Sebut’ (look and say)

Kaedah Pandang dan Sebut ini atau juga pernah disebut dengan nama Kaedah Seluruh Perkataan (whole word) ini bolehlah dianggap sebagai reaksi kepada kelemahan-kelemahan yang terdapat pada Kaedah Abjad. Kaedah itu lebih bermakna daripada Kaedah Menghafal ‘nama setiap huruf itu’. Misalnya batu, rumah, sekolah, budak, pokok, meja, pensel dan sebagainya. Perkataan-perkataan yang ditulis penuh adalah difikirkan lebih bermakna daripada pecahan tiap-tiap hurufnya. Jadi Kaedah Pandang dan Sebut (atau Kaedah Seluruh Ayat) ini dijadikan asas untuk mengajar murid-murid membaca. Kerap kali ditunjukkan seluruh perkataan-perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya. Perkataan rumah ditulis di tepi atau di bawah gambar rumah, perkataan pensel, dan sebagainya. Kadang-kadang digunakan kad-kad imbasan yang menunjukkan gambar dan perkataan.

Jadi dalam kaedah ini murid-murid cuba ‘mengenal’ keseluruhan lambang-lambang itu untuk mendapat membaca. Mereka harus mengenal beberapa puluh ‘lambang perkataan’ sebelum boleh membaca ayat-ayat. Kemudian baru diajar mengeja tiap-tiap perkataan, dan mengenal nama huruf-huruf yang mewakilinya.

Pada ketika dahulu (bahkan bagi setengah-setengah ahli pendidik sekarang pun) kaedah Pandang dan Sebut ini sangat ditegaskan. Mereka kuat dipengaruhi oleh ahli-ahli pendidik mengajar membaca bahasa Inggeris. Di sebalik menggunakan kaedah ini untuk mengajar, bahasa Inggeris ialah bahasa yang tidak mempunyai sistem ejaan fonemik yang sempurna, bercelaru dari segi symbol-sound relationship. Kecelaruan ini menyebabkan ahli-ahli pendidik bahasa menganggap kaedah Pandang dan Sebut itu lebih sesuai dan bermakna untuk mengajar permulaan membaca. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kaedah ini dikritik semula, sebab didapati ramai murid biasa (terutama di Amerika Syarikat) yang tidak boleh membaca. Kemahiran murid-murid ‘mengenal’ perkataan-perkataan tidak dapat menjelma dengan cepat. Bahkan ramai yang menghafal ‘perkataan-perkataan’ berdasarkan gambar daripada ‘mengenal’ perkataan-perkataan, dan murid-murid ini sukar mengenal perkataan-perkataan yang ‘baru’. Jadi, baru-baru ini timbul semula hujah-hujah dan kajian-kajian yang membuktikan bahawa kaedah fonik mungkin lebih sesuai dan berkesan daripada kaedah Pandang dan Sebut untuk mengajar permulaan membaca bahasa Inggaris.

Kaedah Pandang dan Sebut ini lebih sesuai digunakan untuk mengajar bahasa-bahasa yang memakai sistem tulisan ideografik (atau lebih tepat lagi logografik) seperti sistem ejaan bahasa Cina, yang melambangkan sesuatu benda, idea, dan sebagainya (satu morfem) dengan satu perkataan.
Oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu rata-rata adalah fonemik (satu huruf boleh dikatakan melambang satu ‘bunyi’ – lebih fonemik daripada misalnya sistem ejaan bahasa Inggeris) maka agak tidak begitu munasabah bagi Kaedah Pandang dan Sebut ini digunakan untuk mengajar permulaan membaca bahasa Melayu, terutama mengajar murid-murid Melayu. Kaedah ini akan menyusahkan dan melambatkan lagi murid-murid mencapai kemahiran membaca bahasa Melayu.

2.3.3 Kaedah Fonik

Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat hubungan di antara simbol (huruf) dan ‘bunyi’ (grapheme phoneme relationship) supaya kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baru yang mereka hadapi.
Murid-murid tidak diajar nama-nama huruf, diajar ‘bunyi-bunyi’ huruf. Ertinya lambing huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya ‘a’ dibunyikan ‘aa…’, ‘t’ – ‘tah’, ‘s’ –‘ss’. ‘u’ – ‘uu…’, ‘z’ – ‘zz…’, dan sebagainya. Setelah mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’, ‘ka’, ‘lu’, ‘mi’ dan sebagainya. Kemudian baru digabungkan suku-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan – ‘dada’, ‘batu’, ‘kata’, ‘lalu’, dan sebagainya. Seterusnya murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat yang menggunakan perkataan-perkataan ini.

Nyata sekali, oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu kita adalah fonemik, (iaitu ada hubungan yang agak teratur di antara ‘huruf’ dan ‘bunyinya’), dan oleh sebab suku kata kebanyakan perkataan Melayu agak jelas, maka kaedah fonik ini sesuai sekali digunakan untuk mengajar permulaan membaca perkataan-perkataan Melayu. Sekurang-kurangnya kaedah ini adalah lebih munasabah dan mungkin lebih berkesan dibandingkan dengan Kaedah Abjad dan Kaedah Pandang dan Sebut.

Kelemahannya ialah kaedah ini masih memerlukan murid-murid menghafal bunyi huruf yang kurang bermakna pada permulaannya. Dan biasanya masa yang agak panjang diambil untuk mereka mengenal semua bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka membaca perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang bermakna.

2.3.4 Kaedah Eklektik

Kaedah ini adalah kaedah Campuran – campuran kaedah-kaedah mengikut kesesuaian murid, situasi bilik darjah dan bahan-bahan bacaan yang digunakan. Ada yang menggunakan penujuan sintetik, ada penujuan analitik dan ada pula penujuan sintetik-analitik.

‘’The analytic-synthetic method… entails selection of carefully graded words, sentences and simple passage which children analyse, compare and synthesize more or less simultaneously right from the beginning, and in doing so become acquainted with the elements of language, in the desired order, while learning the mechanics of reading.’’ 1
1 Twelfh International Conference on Public Education, Gena, 1949.
The Teaching of Reading. Geneva : International Bureau of Education 1949, m.s. 24.

Terdapat pelbagai lagi jenis Kaedah Eklektik ini. Bagi bahasa Melayu, kesan yang didapati apabila seseorang menyebutkan Kaedah Eklektik ini, ialah seolah-olah mereka memikirkan Kaedah ini adalah yang paling sesuai untuk mengajar membaca bagi kanak-kanak Melayu kita. Kemudian jika diperhatikan betul-betul cara Kaedah ini diterapkan, agak banyak yang mengajar kurang sistematik. Jadi kerap kali Kaedah ini menjadi akedah cacamurba, kerana asas gabungan itu kurang diperhatikan.

Apa yang harus difikirkan dan diciptakan ialah kaedah mengajar ‘eklektik’ tetapi sistematik, yang mengambil perhatian keistimewaan sifat-sifat ejaan bahasa Melayu, struktur suku-katanya, dan tatabahasanya di suatu pihak, dan keadaan pembelajaran murid-murid Melayu di pihak lain. Maksudnya kita harus menciptakan Kaedah Eklektik yang sesuai untuk mengajar membaca bahasa Melayu sebagai bahasa pertama; tetapi Kaedah itu haruslah sistematik.

Kaedah Gabungan yang dicadangkan

Kaedah gabungan untuk mengajar membaca bahasa Melayu kepada murid-murid peringkat awal (prabacaan) yang dicadangkan di sini berasaskan hal-hal berikut:

a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik – ertinya ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan-perkataan Melayu adalah jelas (jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ boleh digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah pun mempunyai perbendaharaan bahasa Melayu yang mencukupi untuk terus belajar membaca.
Kaedah yang dicadangkan ini menegaskan yang kita boleh menggabungkan terus ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran membaca, pada peringkat awal. Kita tidak perlu menunggu murid-murid mengetahui semua nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka disuruh membaca perkataan-perkataan atau ayat. Malahan kita tidak begitu perlu memperkenalkan dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a, b, c… sampai z secara tertib biasa.

Kaedah gabungan ini mencadangkan biar murid-murid diperkenalkan kepada bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan suku kata dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu dua pelajaran. Dengan cara begini dalam dua, tiga pelajaran saja mereka akan terus dapat membaca beberapa perkataan dan ayat, dan merasa bangga yang mereka boleh membaca serta faham akan yang dibaca.
Untuk menjelaskan kaedah ini secara konkrit, terdapat beberapa contoh:

a) Mulakan dengan perkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal:
a o u dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan membunyikan huruf ini beberapa kali, selang-seli.
b) Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya:
d k m dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih-tubi beberapa kali supaya semua murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan jelas.
c) Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata:
da di du
ka ki k u
sa si su
Seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:
ba ba baba
bu bu bubu
da da dada
ku ku kuku

Ulangkan ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan latihan murid-murid membacanya:
baba bubu
dada kuku
d) Perkenalkan gabungan lain:

a ku aku
a da ada
i ni ini
i tu itu
bu ku buku
ba ba baba
bu ka buka
ba ju baju
Seluruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di atas:

aku ada buku
aku buka baju
ini buku aku
itu baju aku
Kemudian gantikan ‘aku’ dengan ‘baba’ dan ulang membacanya.
Seterusnya baca ayat-ayat ini pula:
buku dia
buku baba
buku aku/ku
Gantikan ‘buku’ dengan ‘baju’, ‘baju’, dan ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.
e) Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.
i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
di a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibu
kaki kuda

Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai perkataan yang dicipta:
ibu buku
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda
buku uda

Begitulah beberapa contoh kaedah gabungan yang boleh diajar di dalam tiga, empat hari, sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh mengenal huruf-huruf a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata, perkataan-perkataan dan ayat yang dibentuk daripadanya.

Kesediaan Membaca

Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi.

Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi mintanya terhadap bahan-bahan bacaan (seperti bermain dengan bahan bacaan, membelek-belek bahan bacaan, melihat bahan bacaan, dan berminat melihat orang di sekitarnya membaca) dan minatnya untuk mendengar bacaan, khususnya yang berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah diketahuinya.

Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawall umur empat tahun dan ada pula kanak-kanak yang hanya bersedia membaca setelah berumur enam tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, factor persekitaran amat mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak sebaya yang tidak mendapat peluang yang sama.

Syed Abu Bakar (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dapat dicapai terlebih dahulu, usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibubapa dan guru.” Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap, merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran berjalan. Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, Cuma bentuknya berbeza. Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita rumusan perbandingan perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan seperti yang di bawah.

Meniarap (aktiviti kesediaan membaca) merangkak ( aktiviti mendirikan kemahiran asas membaca) ,berdiri (aktiviti pengukuhan kemahiran asas membaca ,berjalan ( mahir membaca peringkat rendah) , berlari ( mahir membaca peringkat tinggi)

Aktiviti Kesediaan Membaca

Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat.

Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly Chong (1992) pula, tahap prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan kata lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah : Untuk mencapai tujuan ini, aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 (1983) dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan, iaitu pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan mata.

AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN

- Aktiviti Pengamatan Penglihatan 1

Menghimpun gambar benda maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan:
Pelbagai gambar kereta, baju, lain-lain.
Aktiviti Murid:
Murid melaksanakan gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti ini dilaksanakan secara individu, kelas dan kumpulan.

- Aktiviti Pengamatan Penglihatan 2

Menggunting dan menampal berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan kenyataan atau di buku skrap kelas.
Bahan: Gambar benda hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan, benda yang tidak boleh dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru berbincang dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2. Murid menyebut “benda hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons terhadap kad benda yang diimbaskan oleh guru.
3. Guru member murid kad gambar dan murid melekatkan kad itu di papan kenyataan mengikut tajuknya seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan lain-lain.
4. Murid menggunting gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut tajuk tertentu.

AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN

- Aktiviti Pengamatan Pendengaran 1

Mengetuk benda satu persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan mengecam perbezaan bunyinya.
Bahan: Paku, tin, batang kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperkenalkan benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku, tempurung, batang kayu, meja dan batu.
2. Guru mengetuk benda itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3. Guru mengetuk dua benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi benda itu sama atau tidak.
4. Murid menyanyi lagu “Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita rakaman atau nyanyian atau nyanyian guru sendiri.


- Aktiviti Pengamatan Pendengaran 2

Mendengar rakaman dan menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak.
Bahan: Pita rakaman yang mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta yang dapat disesuaikan dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.

Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperdengarkan bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2. Rakaman bunyi-bunyi itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis bunyi itu.
3. Murid-murid lain memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.

AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA

- Aktiviti pergerakan Tangan dan Mata 1

Membentuk benda daripada plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-lain.
Bahan: Plastisin, tanah liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Buat satu atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2. Berikan bahan kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model yang disukainya.
3. Minta murid menceritakan hasil kerja mereka.

- Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 2

Melakar bentuk yang sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah untuk membolehkan membentuk huruf.
Bahan: Lembaran kerja, benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang bendera, bola, manik, cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan atau arah yang dibuat dengan garisan putus-putus.

Aktiviti Murid:
1. Menggolekkan bola di atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan sebagainya.
2. Murid memegang cawan plastic yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan menggerak-gerakkan tangan kanan mereka ke kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik memegang cawan dipelbagaikan.
3. Murid melakar garis pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera.


ujian yang boleh digunakan bagi menguji pengamatan penglihatan murid-murid.


Permainan yang boleh menguji kemahiran koordinasi tangan dan mata murid.